Makna kalimah
tauhid
Kalimah tauhid
membawa pengertian mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa
sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah Allah Subhanahu Wa
Ta’ala (SWT) semata-mata. Selain
daripada-Nya, sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Penghayatan
kalimah itu meliputi berikrar dengan hati, menyatakan dengan lidah dan
membuktikan dengan perbuatan.
Tauhid
ar-Rububiyyah
( )
dan Tauhid al-Uluhiyyah (
)
Tauhid
ar-Rububiyyah bermakna beri’tiqad bahawa Allah SWT bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan
sekelian alam. Tauhid al-Uluhiyyah pula bermakna menjadikan Allah SWT sahaja
sebagai sembahan yang sentiasa dipatuhi.
Pengertian lanjut
Tauhid ar-Rububiyyah
Antara pengertian
kalimah Rabb ( ) ialah:
1. As-Sayyid (Tuan)
2. Al-Malik (Yang Memiliki)
3. Pencipta
4. Penguasa
5. Pendidik
6. Pengasuh
7. Penjaga
8. Penguatkuasa.
Allah jua
bersifat mutlak
Manusia, jika dia
bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifatnya itu sementara. Segala
sesuatu di alam ini kepunyaan Allah. Apa yang dimiliki makhluk hanyalah
bersifat pinjaman dan majaz (kiasan). Hanya Allah sebagai Rabb al-’Alamin (Rabb
sekelian alam) dan mempunyai segala sifat kesempurnaan. Dengan sifat-sifat-Nya
yang Maha Sempurna mengakibatkan seluruh makhluk bergantung kepada-Nya,
memerlukan pertolongan-Nya dan berharap kepada-Nya.
Manusia, jika dia
cerdik, bijak dan pandai, maka semuanya itu datang daripada Allah. Segala
kekayaan dan penguasaan manusia bukanlah miliknya yang mutlak tetapi datang
daripada Allah.
Manusia dijadikan
hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa,
tindak-tanduk, gerak nafas dan sebagainya datang daripada Allah.
Allah, Dialah
Maha berkuasa, mencipta, menghidup dan mematikan. Dia berkuasa memberikan
manfaat dan mudarat. Jika Allah mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada
seseorang, tiada siapa mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah mahu
memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah,
tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya.
Oleh itu hanya
Allah sahaja ‘mutafarriq’, bermakna hanya Allah yang berkuasa untuk memberikan
manfaat atau mudarat.
Firman Allah SWT:
"Jika Allah
menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya
melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah
Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu."
(Al-An’am: 17)
Dengan
sifat-sifat Allah tersebut, maka timbullah kesan tauhid kepada seseorang. Dia
hanya takut kepada Allah, dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu kerana
keyakinannya kepada Allah.
Manusia bersifat
fakir
Manusia di dunia
ini bersifat fakir (tidak memiliki apa-apa), sebaliknya sentiasa memerlukan
pertolongan Allah. Firman Allah SWT di dalam Al-Hadith Al-Qudsi:
"Hai
manusia, kamu semua berada di dalam
kesesatan kecuali mereka yang Aku berikan taufiq dan hidayah kepadanya. Oleh
itu mintalah hidayah daripada-Ku."
"Hai
manusia, kamu semua lapar, kecuali mereka yang aku berikan makan, oleh itu
mintalah rezeki daripada-Ku."
"Hai
manusia, kamu semua telanjang kecuali mereka yang Aku berikan pakaian. Oleh itu
mohonlah pakaian daripada-Ku."
Sifat fakir dan
sifat kaya
Berhajatkan
sesuatu adalah sifat semua makhluk. Manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan
makhluk lain berhajatkan kepada Allah. Oleh itu semua makhluk bersifat fakir.
Allah Maha Kaya.
Dia tidak berhajat kepada sesuatu. Jika manusia memiliki keyakinan ini maka dia
akan sentiasa berbaik sangka terhadap Allah. Firman Allah SWT:
"Hai
manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah, Dialah Yang Maha
Kaya (yang tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji." (Fathir: 15)
Fakir adalah
sifat yang zati bagi setiap makhluk ciptaan Allah. Kaya adalah sifat yang zati bagi al-Khaliq
(Pencipta).
Dalil-Dalil
Tauhid ar-Rububiyyah
Banyak dalil menunjukkan
bahawa Allah itu Maha Esa dan tiada sesuatu menyamai Allah dari segi
Rububiyyah. Antaranya:
1. Lihatlah pada tulisan di papan hitam, sudah
pasti ada yang menulisnya. Orang yang berakal waras akan mengatakan bahawa
setiap sesuatu pasti ada pembuatnya.
2. Semua benda di alam ini, daripada
sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, menyaksikan bahawa Allah itu
adalah Rabb al-’Alamin. Dia berhak ke atas semua kejadian di alam ini.
3. Susunan alam yang mengkagumkan, indah dan
tersusun rapi adalah bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh berkata-kata,
dia akan menyatakan bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah. Orang yang berakal
waras akan berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu Zat Yang Maha Berkuasa,
iaitu Allah. Tidak ada orang yang berakal waras akan menyatakan bahawa sesuatu
itu boleh berlaku dengan sendiri.
Begitulah
hebatnya Ilmu Allah. Pandanglah saja kepada kejadian manusia dan fikirkanlah
betapa rapi dan seni ciptaan-Nya.
Terdapat seribu
satu macam ciptaan Allah yang memiliki sifat yang berbeza-beza antara satu sama
lain. Semuanya menunjukkan bahawa Allah adalah Rabb yang Maha Bijaksana .
Fitrah mengakui
Rububiyyah Allah
Berikrar dan
mengakui akan Rububiyyah Allah adalah suatu perkara yang dapat diterima. Hakikat
ini terlintas dalam setiap fitrah manusia. Meskipun seseorang itu kafir, namun
jauh di lubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah Allah SWT. Firman Allah SWT:
"Dan jika
kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab:
Allah." (Az-Zukhruf: 87)
"Dan jika
kamu bertanyakan mereka tentang:
Siapakah pencipta langit dan bumi?
Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan
Yang Maha Mengetahui."(Az-Zukhruf: 9)
Tidaklah
susah untuk membuktikan Rububiyyah Allah
SWT. Fitrah setiap insan adalah buktinya. Manusia yang mensyirik dan
mengkufurkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah Yang Maha Pencipta.
Al-Quran mengakui
adanya Tauhid ar-Rububiyyah di dalam jiwa manusia
Al-Quran mengingatkan bahawa fitrah atau jiwa manusia
memang telah memiliki rasa mahu mengakui Allah Rabb al-’Alamin. Firman Allah
SWT:
"Berkata
rasul-rasul mereka: Apakah terdapat keraguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi."
(Ibrahim: 10)
"Dan mereka
mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) pada hal hati mereka
meyakini (kebenaran)nya."(An-Naml: 14)
Keengganan dan
keingkaran sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan Allah sebagai al-Khaliq
(Yang Maha Pencipta), sebenarnya didorong oleh perasaan sombong, degil (‘inad)
dan keras hati. Hakikatnya, fitrah manusia tidak boleh kosong daripada memiliki
perasaan mendalam yang mengakui kewujudan al-Khaliq.
Jika fitrah
manusia bersih daripada sombong, degil, keras hati dan selaput-selaput yang
menutupinya, maka secara spontan manusia akan terus menuju kepada Allah tanpa
bersusah payah untuk melakukan sebarang pilihan. Secara langsung lidahnya akan
menyebut Allah dan meminta pertolongan daripada-Nya.
Telatah manusia,
apabila berada di saat-saat genting, tidak akan terfikir dan terlintas sesuatu
di hatinya kecuali Allah sahaja. Ketika itu segenap perasaan dan fikirannya
dipusatkan kepada Allah semata-mata. Benarlah Firman Allah SWT:
"Dan apabila
mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan
keikhlasan kepada-Nya, maka ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian
daripada mereka tetap berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari
ayat-ayat Kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar." (Luqman: 32)
Sesungguhnya
permasalahan mengenai kewujudan Allah adalah mudah, jelas, terang dan nyata.
Kewujudan Allah terbukti dengan dalil yang banyak dan pelbagai.
Tauhid
al-Uluhiyyah
Maksud Tauhid
al-Uluhiyyah ialah kita mentauhidkan Allah dalam peribadatan atau persembahan.
Allah SWT mengutuskan para rasul bertujuan menyeru manusia menerima Tauhid al-Uluhiyyah. Firman-firman
Allah SWT yang berikut membuktikan hal tersebut:
"Dan Kami
tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan
kepadanya bahawasanya tiada tuhan melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah
menyembah Aku." (Al-Anbiya’: 25)
"Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada
setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah
Taghut." (An-Nahl: 36)
"Dan
sesungguhnya Aku telah utuskan Nuh (nabi) kepada kaumnya, lalu dia berkata
(menyeru): Wahai kaumku, hendaklah kamu menyembah Allah, (kerana) sesekali
tiada tuhan melainkan Dia."
(Al-Mu’minun: 23)
"Dan (Kami
telah mengutuskan) kepada kaum ‘Ad saudara mereka Hud (nabi): Hai kaumku
sembahlah Allah, sesekali tiada tuhan bagi kamu selain dari-Nya." (Al
‘Araf: 65)
Cetusan rasa
cinta kepada Allah
Menyembah atau
beribadah kepada Allah dapat dilaksanakan apabila tercetus rasa cinta yang suci
kepada Allah dan rela (ikhlas) menundukkan diri serendah-rendahnya kepada-Nya.
Seseorang hamba itu disifatkan sedang menyembah Allah apabila dia menyerahkan
seluruh jiwa raga kepada Allah, bertawakkal kepada Allah, berpegang teguh
kepada ajaran-ajaran Allah, berpaut kepada ketentuan Allah, meminta (mengharap)
serta memulang (menyerah) sesuatu hanya kepada Allah, berjinak-jinak dengan
Allah dengan cara sentiasa mengingati-Nya, melaksanakan segala syariat Allah
dan memelihara segala perlakuan (akhlak, perkataan dan sebagainya) menurut
cara-cara yang diredhai Allah.
‘Ubudiyyah yang
semakin bertambah
Pengertian
‘ubudiyyah (pengabdian) kepada Allah akan bertambah sebati dan hebat kesannya
dalam kehidupan manusia apabila semakin mendalam pengertian dan keinsafannya
tentang hakikat bahawa manusia itu terlalu fakir di hadapan Allah. Manusia
sentiasa bergantung dan berhajat kepada Allah. Manusia tidak boleh terlupus
daripada kekuasaan dan pertolongan Allah walaupun sekelip mata.
Begitu juga
dengan cinta atau kasih (hubb) manusia kepada Allah dan rasa rendah diri
(khudu’) manusia kepada Allah yang akan bertambah teguh apabila semakin mantap
ma’rifat dan kefahamannya terhadap sifat-sifat Allah, Asma’ Allah al-Husna (sifat-sifat Allah yang
terpuji), kesempurnaan Allah dan kehebatan nikmat kurniaan Allah.
Semakin terisi
telaga hati manusia dengan pengertian ‘ubudiyyah terhadap Allah semakin
bebaslah dia daripada belenggu ‘ubudiyyah kepada selain daripada Allah.
Seterusnya dia akan menjadi seorang hamba yang benar-benar tulus dan ikhlas
mengabdikan diri kepada Allah. Itulah setinggi-tinggi darjat yang dapat dicapai
oleh seseorang insan.
Allah telah
menggambarkan di dalam al-Qur’an keadaan para rasul-Nya yang mulia dengan sifat-sifat
‘ubudiyyah di peringkat yang tinggi. Allah telah melukiskan rasa ‘ubudiyyah
Rasulullah SAW pada malam sewaktu wahyu diturunkan, ketika baginda berda’wah
dan semasa baginda mengalami peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Firman Allah SWT:
"Lalu dia
menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan."
(An-Najm: 10)
"Dan ketika
berdiri hamba-Nya (Muhammad) untuk menyembah-Nya (beribadat), hampir saja
jin-jin itu mendesak-desak mengerumuninya." (Al-Jin: 19)
"Maha Suci
Allah yang memperjalankan hambanya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid
al-Haram ke Masjid al-Aqsa." (
Al-Isra’: 1)
Tauhid
al-Rububiyyah menghubungkan Tauhid al-Uluhiyyah
Seperti yang
telah dinyatakan di atas, Tauhid al-Rububiyyah ialah mengakui keesaan Allah
sebagai Rabb, Tuan, Penguasa, Pencipta dan Pengurnia secara mutlak. Tidak ada
sekutu bagi-Nya di dalam Rububiyyah.
Sesungguhnya
kesanggupan dan kesediaan manusia mentauhidkan Allah dari segi Rububiyyah
dengan segala pengertiannya akan menghubung atau menyebabkan manusia mengakui
Tauhid al-Uluhiyyah iaitu mengesakan Allah dalam pengabdian. Secara spontan
pula manusia akan mengakui bahawa Allah sahaja layak disembah, selain
daripada-Nya tidak layak disembah walau dalam apa bentuk sekalipun.
Al-Quran terlebih
dahulu memperingatkan orang-orang musyrikin Quraisy agar mengakui Tauhid al-Rububiyyah. Apabila
mereka menerima Tauhid al-Rububiyyah dan bersungguh-sungguh mengakuinya, maka
terbinalah jambatan yang menghubungkan mereka dengan Tauhid al-Uluhiyyah.
Hakikat ini jelas dan tidak boleh dicuai atau diselindungkan lagi. Firman Allah
SWT:
"Apakah
mereka mempersekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat
menciptakan sesuatu apapun? Sedangkan berhala-berhala tersebut adalah buatan manusia."
(Al-A’raf: 191)
"Apakah
(Allah) yang menciptakan segala sesuatu itu sama dengan yang tidak dapat
menciptakan (apa-apa)? Maka mengapakah kamu tidak mengambil pengajaran?"
(An-Nahl: 17)
"Hai
manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarlah olehmu perumpamaan itu.
Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu serukan selain daripada Allah tidak dapat
menciptakan seekor lalat, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan
jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiada mereka dapat merebutnya
kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah pula
yang disembah." (Al-Hajj: 73)
Ayat-ayat
tersebut mengingatkan orang-orang musyrikin mengenai suatu hakikat yang nyata
iaitu sembahan-sembahan mereka adalah lemah, malah tidak berkuasa untuk
mencipta sesuatu walaupun seekor lalat. Jika lalat itu mengambil atau merampas
sesuatu daru mereka, maka mereka tidak berkuasa untuk mendapatkannya kembali.
Ini menunjukkan betapa lemah yang meminta dan lemah pula yang dipinta. Oleh itu
akal yang sejahtera tidak boleh menerima penyembahan selain daripada Allah.
Dalam peribadatan mereka tidak boleh mempersekutukan sesuatu dengan Allah.
Allah adalah al-Khaliq Yang Esa. Selain daripada-Nya adalah lemah dan dhaif
belaka.
Tuhan-tuhan palsu
yang tidak memiliki apa-apa
Al-Quran
menghujah dan mengingatkan orang-orang musyrikin bahawa apa yang mereka sembah
selain daripada Allah tidak memiliki sebutir atom pun sama ada di bumi mahupun
di langit. Malah sembahan mereka sama sekali tidak menyamai Allah walaupun
sebesar zarah sama ada di bumi mahupun di langit. Allah tidak mempunyai apa-apa
keperluan dengan tuhan-tuhan palsu yang mereka sembah. Jika mereka menyedari
hakikat ini, mereka akan merasai kewajipan untuk beribadat dengan ikhlas kepada
Allah semata-mata. Firman Allah SWT:
"Katakanlah:
Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan) selain Allah, mereka tidak
memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit dan di bumi, dan mereka tidak
memiliki satu saham pun dalam penciptaan langit dan bumi, dan sekali-kali tidak
ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya." (Saba’: 22)
Al-Quran mengakui
bahawa orang-orang musyrikin mengiktiraf sebahagian daripada Rububiyyah Allah
seperti Allah itu Pemilik langit serta bumi dan Allah itu Pengurus
kejadian-kejadian di langit serta di
bumi. Jika begitulah pengiktirafan mereka, sepatutnya mereka beriman dan
menyembah Allah tanpa mempersekutukan-Nya. Firman Allah SWT:
"Katakanlah
(kepada mereka): Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya jika
kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada
mereka): Apakah kamu tidak ingat?
"Katakanlah
(kepada mereka): Siapakah yang mempunyai langit yang tujuh dan yang empunya
‘arasy yang besar? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada
mereka): Apakah kamu tidak bertaqwa?
"Katakanlah
(kepada mereka): Siapakah yang di tangan-Nya berada segala kekuasaan sesuatu
sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi daripada
(azab)-Nya, jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah.
Katakanlah (kepada mereka): (Oleh yang demikian) dari jalan manakah kamu ditipu
?
"Sebenarnya
Kami telah membawa kebenaran kepada mereka dan sesungguhnya mereka sebenarnya
orang-orang yang berdusta."
(Al-Mu’minun:
84-90)
Sains dan aqidah
tauhid
Penemuan-penemuan
dalam bidang sains dan teknologi mengenai alam buana, atom, manusia,
tumbuh-tumbuhan dan pelbagai bidang industri telah berjaya menyingkap keindahan
dan ketelitian ciptaan Allah. Penemuan-penemuan dan rekaan-rekaan baru itu
menguatkan lagi ajaran aqidah tauhid dan meneguhkan lagi keimanan orang-orang
mu’min. Hasil-hasil kajian itu menunjukkan kebesaran dan keluasan kudrat serta
ilmu Allah. Sesungguhnya di sebalik kehalusan ciptaan dan keindahan sistem
sejagat ini pasti ada Penciptanya Yang Maha Basar dan Maha Berkuasa.
Kedudukan tauhid
dalam Islam
Keseluruhan
ajaran Islam berasaskan tauhid. Keseluruhan kandungan al-Quran berlegar di atas
tauhid. Kandungan ayat-ayat al-Quran meliputi pengkhabaran tentang Allah, sifat
Allah, kejadian Allah, perbuatan Allah dan pentadbiran Allah.
Al-Qur’an
membincangkan tentang al-amr (perintah) dan anbiya’ Allah (nabi-nabi Allah)
kerana kedua-duanya ada kaitan dengan penciptaan dan kekuasaan Allah terhadap
makhluk-Nya. Al-Qur’an menerangkan segala bentuk balasan baik (pahala) untuk
mereka yang mentaati Allah, Rasul dan syariat-Nya. Semua ini untuk
mengajak mereka menegakkan Tauhid
al-Uluhiyyah dan Tauhid
al-Rububiyyah.
Al-Qur’an
menerangkan segala bentuk balasan siksa (dosa) untuk mereka yang tidak mematuhi
syariat-Nya, menceritakan tentang keadaan orang-orang zaman dahulu yang telah
menderhakai Allah. Semua ini untuk menjelaskan bahawa manusia perlu kembali
kepada dasar tauhid dan ibadah kepada Allah.
Oleh itu tauhid
adalah intipati atau asas Islam. Daripada tauhid terpancar segala sistem,
perintah, hukum dan peraturan. Semua ibadat dan hukum dalam Islam bertujuan
untuk menambah, memahir, menguat dan mengukuhkan lagi tauhid di dalam hati
orang-orang mu’min.
Dengan tauhid
seluruh dorongan manusia akan terbentuk
Dengan tauhid
yang kuat, maka akan terbentukkan pelbagai dorongan yang ada dalam jiwa
manusia. Dia akan takut hanya kepada Allah SWT dan berani mempertahankan
keyakinannya seperti yang dipersaksikan dalam sirah Rasulullah dan para
sahabat:
1. Rasulullah SAW pernah memerintahkan Ali RA
agar tidur di atas katilnya sebelum baginda keluar berhijrah ke Madinah,
sedangkan musuh Islam begitu giat mengintip. Namun Sayyidina Ali sanggup
berbuat mengikut perintah Rasulullah SAW kerana beliau yakin atas Kehendak dan
Kekuasaan Allah.
2. Khalid Ibn al-Walid RA pernah mengalami
banyak calar dan luka pada badannya kerana berperang di jalan Allah. Namun dia
tetap yakin dengan Kekuasaan Allah. Dia tetap meneruskan pertempuran melawan
musuh.
3. Bilal bin Rabah RA sanggup diheret di
padang pasir, dijemur di bawah kepanasan matahari dan diseksa dengan batu besar
diletakkan di atas tubuhnya. Dia tetap mempertahankan keimanannya.
Kini, ramai
manusia yang kehilangan keyakinan ini. Mereka masih yakin kepada yang lain
daripada Allah. Mereka takut kepada kegagalan, ketua, kematian dan sebagainya.
Oleh itu menjadi
kewajipan bagi pendakwah-pendakwah Islam untuk mengembalikan manusia kepada
keyakinan yang betul.
Syahadah bahawa
Nabi Muhammad itu Rasulullah
Syahadah
merupakan teras Islam yang kedua. Syahadah ini menuntut manusia mengetahui,
membenar dan menyakini dengan muktamad (dengan i’tiqad yang jazim serta
pegangan yang putus) bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah serta
membuktikannya dengan perkataan dan perbuatan sekaligus.
Pembuktian dengan
perkataan ialah melafazkan kalimah syahadah itu dengan lidah. Pembuktian dengan
perbuatan ialah menegakkan tingkah laku (tatasusila) dan seluruh
tindak-tanduk yang bersesuaian dengan
ajaran Nabi Muhammad SAW serta menuruti jejak langkah baginda.
Para rasul
menegakkan tauhid
Pada dasarnya
pengutusan para rasul bertujuan untuk mengesakan Allah dalam Tauhid
al-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah. Dialah Tuhan Rabb al-’Alamin dan Tuhan
para Rasul tersebut. Tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah.
Tauhid
al-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah menjelaskan kekuasaan Allah yang Maha
Suci dalam pentadbiran urusan makhluk-Nya. Allah Pengurnia kemaslahatan dan
kebaikan. Allah Penentu al-amr (perintah). Allah-lah Pengutus ar-Rasul untuk
makhluk-Nya.
Manusia
memerlukan rasul untuk mencapai kesempurnaan hidup
Tidak syak lagi
untuk mencapai kesempurnaan hidup, manusia bukan sahaja berkehendakkan kepada
makanan, pakaian, tempat berlindung dan keperluan-keperluan jasmani yang lain,
bahkan manusia juga berkehendakkan sesuatu untuk memenuhi tuntutan roh. Dengan
memenuhi tuntutan roh, manusia akan dapat mencapai taraf kesempurnaan sebagai
manusia yang mulia dan berbeza dengan makhluk-makhluk yang lain.
Tugas para rasul
adalah untuk memberitahu kepada manusia bahawa Allah
adalah enciptanya
yang layak disembah dan Dialah yang meletakkan manusia di atas jalan lurus
(sirat al-mustaqim). Dengan keyakinan ini barulah manusia dapat sampai ke jalan
kebahagiaan dan kesempurnaan sebenar.
Manusia sendiri
tidak dapat mengetahui perkara-perkara ghaib mengenai Pencipta dan sirat
al-mustaqim dengan menggunakan kudrat dan akalnya yang lemah. Manusia kerap
melakukan kesilapan. Untuk memikirkan mengenai Pencipta dan sirat al-mustaqim
adalah di luar kemampuan akal manusia. Oleh itu pengutusan para rasul Allah
menunjukkan kebijaksanaan-Nya dan merupakan rahmat yang paling besar untuk umat
manusia. Para rasul Allah dilantik daripada golongan manusia sendiri supaya
mereka dapat menggunakan kebiasaan dan bahasa yang dapat difahami oleh manusia.
Seterusnya menyampaikan ajaran Allah, menjelaskan cara-cara untuk sampai kepada
risalah-Nya dan menghuraikan cara mana untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan
akhirat.
Sungguh tidak
patut sikap manusia sekiranya dia mengingkari Rasul Allah SWT. Firman Allah
SWT:
"Dan mereka
tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajarnya ketika mana mereka
berkata: Allah tidak menurunkan sesuatu pun untuk manusia." (Al-An’am: 91)
Mengingkari
kenabian Nabi Muhammad adalah kesalahan yang besar
Mengingkari
kenabian Nabi Muhammad SAW setelah nyata dalil-dalil mengenai kebenaran dan
kenabiannya bererti merendah dan melemahkan akal manusia. Sikap seperti ini
merupakan keingkaran yang sangat buruk, kedegilan yang sangat tebal dan dosa
yang sangat besar. Allah akan membalas sikap sebegini dengan balasan pedih.
Mengithbatkan
(Mensabitkan) kenabian Muhammad SAW
Seseorang tidak
boleh mendakwa bahawa dia nampak bintang-bintang di langit sekiranya dia
mengingkari kewujudan matahari, sedangkan dia nampak matahari. Kalau dia
mendakwa dan percaya juga, itu bertentangan dengan keimanannya terhadap apa
yang dilihatnya. Begitu juga seseorang tidak boleh beriman kepada nabi-nabi
lain sekiranya dia tidak mempercayai Nabi Muhammad SAW dan mengingkari
kenabiannya.
Mengithbatkan
(mensabitkan) kenabian Muhammad SAW bererti
mensabitkan juga kenabian
seluruh para anbiya’ AS sepertimana yang tersebut di dalam al-Quran.
Oleh itu
mengingkari perutusan sebarang rasul bererti membohongi sebahagian daripada apa
yang terkandung di dalam al-Quran dan mengingkari risalah Islam.
Kesan dan
implikasi keimanan kepada Nabi Muhammad SAW
Mengimani
Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasulullah bererti mengimani secara mutlak dan
sempurna bahawa segala perkara yang dibawa dan dikhabarkan oleh baginda datang
daripada Allah SWT. Implikasinya agar manusia wajib membenar dan mentaati
segala suruhan dan larangan Nabi Muhammad SAW dengan penuh redha dan ikhlas,
tanpa was-was, tanpa rasa keberatan, tanpa rasa sempit dan tanpa rasa terpaksa.
Manusia perlu
taat sepenuhnya kepada ajaran Nabi Muhammad SAW tanpa menimbulkan suasana
berhujah, berdebat dan berbincang, seolah-olah ajaran itu datang daripada
seorang manusia biasa. Beriman dengan Nabi Muhammad SAW tidak boleh sama sekali
dengan cara mempercayai atau mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian
daripada ajarannya. Sikap sebegini adalah berlawanan dengan natijah yang
sepatutnya lahir daripada keimanan terhadap Nabi Muhammad SAW. Al-Quran kerap menyatakan nas-nas yang qat’i
tentang implikasi keimanan kepada Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT:
Dan taatilah
Allah dan Rasul, supaya kamu diberikan rahmat."
(Ali ‘Imran: 132)
"Katakanlah:
Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi
dan mengampuni dosa-dosa kamu." (Ali ‘Imran: 31)
"Katakanlah: Taatilah Allah dan
Rasul-Nya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai
orang-orang yang kafir. (Ali ‘Imran: 32)
"Sesiapa yang
mentaati Rasul maka sesungguhnya ia telah mentaati Allah." (An-Nisa’: 80)
"Sesungguhnya
jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya
agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, lalu mereka berkata: Kami
dengar dan kami patuh. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung."
(An-Nur: 51)
"Dan sesiapa
yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam
syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan sesiapa yang berpaling nescaya
Dia akan mengazab kamu dengan azab yang pedih." (Al-Fath: 17)
"Apa yang
diberikan Rasul kepadamu terimalah, dan apa yang dilarang bagimu maka
tinggallah." (Al-Hasyr: 7)
"Dan tidak
patut bagi lelaki-lelaki mukmin dan bagi perempuan-perempuan Mu’minah, apabila
Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, ada pilihan lain bagi mereka
tentang urusan mereka." (Al-Ahzab: 36)
"Dan jika kamu berselisih pendapat
tentang sesuatu maka kembalilah kepada
Allah dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari
Akhirat." (An-Nisa’: 59)
"Maka demi
Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga menjadikan kamu sebagai
hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa
sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima
sepenuhnya." (An-Nisa’: 65)
"Maka
hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah-Nya takut akan ditimpakan cubaan
atau ditimpakan azab yang pedih." (An-Nur: 63)
Nas-nas seperti
yang tersebut di atas sememangnya banyak
di dalam al-Quran yang mengingatkan orang-orang beriman akan tanggungjawab
mereka selepas beriman kepada Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul. Antaranya:
1. Nas-nas itu menyuruh manusia mentaati Nabi
Muhammad SAW, kerana taatkan baginda bererti taatkan Allah SWT. Balasan orang
yang mentaatinya ialah Syurga an-Na’im dan balasan orang yang mengingkarinya
ialah Neraka.
2. Nas-nas itu menerangkan kepada orang-orang
mukmin bahawa beriman kepada Nabi Muhammad SAW bererti mengikuti apa yang
disuruhnya dan meninggalkan apa yang dilarangnya.
3. Nas-nas itu menyuruh orang Islam yang
bertelingkah pendapat agar kembali kepada Allah dan Rasul-Nya serta redha
menuruti hukum Rasulullah SAW.
Natijah logik
Semua yang
dinyatakan dalam nas-nas al-Quran di atas adalah natijah logik bagi seseorang
yang beriman dengan Nabi Muhammad SAW. serta menerima dengan rela akan
kerasulannya. Suatu hal yang bertentangan dan tidak diterima akal jika
seseorang itu beriman kepada Nabi Muhammad SAW tetapi menentang atau tidak
menerima dengan rela hati perkara yang dibawanya dengan alasan, misalnya, tidak
sesuai dengan sesuatu kepercayaan.
Umpama seorang
yang telah menaruh kepercayaan kepada seorang doktor mahir, sudah tentu dia
menerima nasihat doktor itu dan mengikuti cara pengubatannya. Dia akan mematuhi
cara-cara memakan ubat dan segala pantang larangnya. Dia tidak boleh menentang
atau membahaskan kata-kata doktor pakar itu. Jika kepatuhan dan kerelaan
seseorang pesakit terhadap doktor adalah suatu yang dianggap lumrah dan
munasabah, padahal doktor itu mungkin tersalah, maka bagaimana pula sikap
seseorang terhadap Rasulullah yang diutuskan oleh Allah SWT, sedangkan
Rasulullah adalah penghulu bagi segala doktor?
Kewajipan
terhadap Rasulullah SAW
Kewajipan seorang
muslim terhadap Rasulullah SAW ialah membenarkan semua yang dibawanya, mematuhi
segala perintah dan meninggalkan segala larangannya. Seseorang muslim itu
hendaklah menerima ajaran baginda dengan sempurna, ikhlas dan rela seperti yang
telah dinyatakan.
Kewajipan-kewajipan
lain ialah:
1. Mengasihi atau mencintai Rasulullah SAW lebih
daripada mengasihi atau mencintai diri, anak, isteri, harta dan isi alam.
Sabda Rasulullah
SAW:
"Tidak
sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia sanggup menjadikan aku lebih
dikasihi daripada dirinya, anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya."
Tanda manusia
yang benar-benar mengasihi Rasulullah SAW ialah mengikuti baginda dengan penuh
ikhlas. Dia segera mengerjakan apa yang disukai atau dikasihi baginda. Itulah
tanda-tanda manusia yang benar-benar kasihkan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
"Mereka
bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mencari keredhaanmu, padahal
Allah dan Rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredhaannya jika
mereka itu adalah orang-orang yang beriman."
(At-Taubah: 62)
2. Menghormati dan memuliakan Rasulullah SAW
sama ada ketika baginda masih hidup atau telah wafat. Firman Allah SWT:
"Janganlah
kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu
kepada sebahagian yang lain." (An-Nur: 63)
Rasulullah SAW
bukanlah seperti manusia biasa. Baginda adalah Nabi dan Rasul. Rasulullah
diutuskan untuk seluruh manusia. Maka wajarlah manusia membesar dan memuliakan
baginda sehingga apabila memanggil baginda hendaklah memanggil: "Ya
Rasulullah", "Ya Nabiyullah", "Ya Habibullah" dan
sebagainya.
Antara cara
menghormati dan memuliakan Rasulullah SAW ialah tidak mendahului baginda semasa
bercakap dan tidak meninggikan suara. Firman Allah SWT:
"Hai
orang-orang yang beriman janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan
bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui. Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu meninggikan suaramu lebih
daripada suara Nabi dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang
keras sepertimana kerasnya suara sebahagian daripada kamu kepada sebahagian
yang lain, supaya tidak terhapus pahala amalan kamusedangkan kamu tidak
menyedarinya. Sesungguhnya orang-orang merendahkan suara di sisi Rasulullah
mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka untuk bertaqwa. Bagi
mereka keampunan dan pahala yang besar." (Al-Hujurat: 1-3)
Menghormati dan
memuliakan Nabi perlu terus berlanjutan sehingga selepas kewafatan baginda.
Seseorang Muslim tidak boleh mengangkat suara di dalam Masjid an-Nabawi atau di
sisi maqam baginda. Seseorang muslim wajib bersopan, bersungguh-sungguh dan
redha ketika mendengar hadith baginda yang mulia. Seseorang muslim tidak boleh
menafi atau menentang hadith-hadith baginda dengan pendapat-pendapat atau
fikiran-fikiran yang karut dan menyesatkan. Jika seseorang muslim itu
mendengar: "Qala Rasulullah S.A.W. (Sabda Rasulullah SAW), maka hendaklah
dia memahami bahawa sabda baginda tidak boleh dibohongi oleh manusia. Oleh itu
ia tidak boleh ditentang, bahkan hendaklah didengar, difahami dan diamalkan.
3. Bersungguh-sungguh menghindarkan apa-apa yang
boleh menyakiti Rasulullah Nabi SAW sama ada sedikit atau banyak. Menyakiti
Rasulullah SAW adalah haram dan berdosa. Malah, menyakitinya boleh menyebabkan
seseorang itu terkeluar daripada Islam. Firman Allah SWT:
"Dan tidak
boleh kamu menyakiti hati Rasulullah." (Al Ahzab: 53)
"Dan
orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu bagi mereka azab yang pedih."
(At-Taubah: 61)
Termasuk dalam
pengertian menyakiti Rasulullah SAW ialah menghina atau mencerca para isteri
baginda yang mulia. Isteri-isteri Rasulullah adalah "Ibu Orang-Orang Yang
Beriman". Begitu juga, dianggap menyakiti Rasulullah, sekiranya seseorang
menghina atau mencerca "Ahl al-Bait" baginda.
4. Membaca salawat dan salam kepada Nabi
Muhammad SAW. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya
Allah dan para malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman
bersalawatlah kamu kepada Nabi dan ucaplah salam dengan penuh penghormatan
kepadanya." (Al-Ahzab: 56)
Rujukan: Dr.
Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da’wah.